Pages

Monday 26 August 2013

Bahaya Minuman Berkabonat

Hampir semua orang tahu bahawa minuman berkarbonat tidak baik untuk kesihatan, khususnya kesihatan kanak-kanak. Pengambilan berterusan di kalangan kanak-kanak bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal, malah turut menjejaskan minda. Oleh kerana risiko pengambilan minuman ini tidak berlaku serta merta, maka ramai yang tidak memandang serius dan berdiam diri.
Sejak kebelakangan ini, pihak ibu bapa, juga pihak kerajaan mulai bimbang terhadap tabiat pemakanan tidak sihat murid sekolah di sekolah-sekolah seluruh Malaysia khasnya minuman berkarbonat. Maka, pelbagai saranan telah diketengahkan oleh berbagai pihak termasuk menghalang penjualan minuman berkarbonat di sekolah. Adakah anda setuju dengan pandangan ini?
Satu kajian yang dijalankan di Rio De Janeiro, Brazil mendapati pelajar sekolah berumur 6-14 tahun yang meminum minuman Coke (Coca-cola), Fanta dan Pepsi dengan kadar yang banyak telah menunjukkan tanda-tanda kekurangan vitamin di dalam badan. Lantaran itu, kerajaan Singapura telah bertindak mengharamkan penjualan Coca-cola dan Pepsi serta minuman ringan yang mengandungi lebih daripada 10% kandungan gula di sekolah-sekolah Singapura pada tahun 1992.
Kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang pula mendapati minuman tin mengandungi antara 4-15 sudu kecil gula. Kandungan asid seperti asid sitrik, phosphoric dan karbonat di dalam minuman tersebut menyebabkan rasanya tidak terlalu manis biar pun mengandungi kandungan gula yang tinggi (rasa manis tersembunyi). Kandungan gula yang terlalu tinggi dan paras keasidan yang tinggi di dalam minuman berkarbonat akan membahayakan kesihatan secara menyeluruh serta memberi kesan negatif jangka panjang.
Antara kesan buruk yang dikenalpasti akibat daripada pengambilan gula berlebihan adalah meningkatkan risiko kencing manis, menyumbang kepada risiko penyakit jantung, merosakkan gigi, masalah penghadaman, masalah kulit dan lain-lain lagi. Walaupun sukar bagi sesetengah orang untuk berhenti daripada menggemari minuman berkarbonat, namun hakikatnya banyak risiko penyakit dapat dielakkan.
Sehubungan dengan itu, kanak-kanak perlu diberi pendidikan tentang bahaya minuman berkarbonat. Ibu bapa bukan sekadar perlu sedar tentang bahaya minuman berkarbonat, malah hendaklah mencadangkan minuman alternatif lain yang selamat buat anak-anak. Manakala, pihak sekolah dengan kerjasama Kementerian Kesihatan boleh berperanan mendidik dan menyebarkan maklumat tentang amalan pemakanan sihat di kalangan murid-murid sekolah. 
Cadangan Buat Murid Sekolah @ anak-anak kita;
Elakkan minuman ringan berkarbonat. Tukar corak minuman daripada minuman ringan kepada air kosong (mineral) dan jus buah-buahan. Pastikan air yang diminum memberi faedah yang diperlukan tubuh dan bukan sebagai punca penyakit.
RESIPI AIR HALIA BERKHASIAT UNTUK FIZIKAL DAN MINDA
Bahan dan Ramuan:
1. ½ inci halia (ditumbuk untuk mendapatkan airnya)
2. ½  biji lemon segar (diperah untuk mendapatkan jusnya)
3. secawan air mineral
4. madu secukup rasa
Cara Penyediaan
1. Campurkan kesemua bahan yang diperlukan tersebut, biarkan seketika.
2. Tapis campuran tersebut
3. Masukkan ais atau masukkan campuran tersebut ke dalam peti sejuk untuk mendapatkan lebih rasa umph…
p/s kebanyakan kanak-kanak tidak menggemari halia, oleh itu boleh juga sekiranya tidak memasukkan halia pada ramuan tersebut atau memasukkannya sedikit.

No comments:

Post a Comment