Pages

Friday 16 August 2013

Apakah Penyakit Gout ?

Gout disebabkan oleh urik asid yang berlebihan didalam darah. Mendapan kristal urik asid (monosodium urate) di persekitaran sendi ataupun di dalam sendi menimbulkan keradangan yang menyebabkan sakit sendi.

Mengapakah urik asid berlebihan di dalam darah?

Metabolisma dan pengendalian urik asid yang tidak seimbang, samada pengeluaran yang berlebihan atau kegagalan buah pinggang untuk menyingkirkannya, mengakibatkan urik asid yang berlebihan.
Ketidakseimbangan ini mungkin berpunca daripada faktor keturunan, kandungan purin yang tinggi dalam makanan, obesiti, pengambilan alkohol yang berlebihan, kerosakan buah pinggang dan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti ubat diuretik dan aspirin.

Apakah yang berlaku kepada urik asid yang berlebihan?

Urik asid yang berlebihan boleh mendap di dalam sendi menyebabkan keradangan sendi. Mendapan ini sekiranya berpanjangan akan menyebabkan pembentukan tophi dan batu karang di buah pinggang.

Kandungan urik asid yang tinggi dalam darah tanpa menyebabkan keradangan sendi dinamakan hyperuricemia. Keadaan ini tidak memerlukan rawatan ubat. Namun begitu, risiko untuk menghidap gout adalah lebih tinggi berbanding dengan mereka yang mempunyai tahap urik asid yang normal. Oleh itu langkah-langkah pencegahan adalah amat penting untuk golongan pesakit ini.

Apakah yang berlaku jika penyakit ini dibiarkan berlanjutan?

Serangan sakit sendi yang berulang kali boleh mengakibatkan kerosakan sendi dan menjejaskan fungsinya. Mendapan urik asid yang berlebihan akan membentuk tophi di jari, siku, tangan termasuk cuping telinga. Mendapan urik asid di buah pinggang yang membentuk batu karang boleh meningkatkan risiko jangkitan kuman dan juga kegagalan buah pinggang. Oleh itu, pesakit dinasihatkan agar mendapat rawatan awal untuk mengelakkan komplikasi ini.

Bagaimana gout dikesan?

Penyakit ini boleh dikesan melalui pemeriksaan fizikal, khususnya pemeriksaan sendi. Pemeriksaan cecair sendi akan menunjukkan kristal urik asid. Ujian darah dapat menentukan tahap urik asid. Pemeriksaan  X-ray & USS dapat menunjukkan kerosakan pada tulang sendi tetapi sekiranya dilakukan pada peringkat awal, ia mungkin kelihatan normal.

Bilakah serangan Gout boleh berlaku?

Serangan gout boleh berlaku secara tiba-tiba tanpa sebab yang ketara. Keadaan tertentu boleh menyebabkan serangan gout. Contohnya:
  • Kekurangan air di dalam badan atau berpuasa.
  • Makan makanan kaya purin secara berlebihan.
  • Minum alkohol berlebihan.
  • Kecederaan kepada sendi.
  • Selepas pembedahan.

Tanda-tanda dan gejala-gejala penyakit gout

  • Sakit sendi berlaku secara tiba-tiba, terutama di ibu jari kaki, lutut dan pergelangan kaki.
  • Sendi menjadi bengkak.
  • Sendi menjadi panas, merah dan teramat sakit.
  • Demam.

Rawatan Gout

Tujuan rawatan adalah untuk:
  • Mengurangkan sakit sendi.
  • Mengurangkan kekerapan serangan.
  • Mengelakkan komplikasi penyakit gout.

Rawatannya termasuklah:


  • Ubat ‘Non Steroidal Anti-Inflammatory Drugs’ (NSAIDs) – Ubat ini dapat mengurangkan rasa sakit dan bengkak.

  • Colchicine– Ubat ini digunakan untuk mengurangkan sakit sendi. Salah satu daripada kesan sampingannya ialah cirit birit.

  • Allopurinol– ubat ini dapat mengurangkan tahap asid urik. Kesan sampingan seperti ruam dan alahan yang serius boleh berlaku. Sekiranya ini berlaku, anda mesti menghentikan pengambilan ubat ini dengan serta merta.

Kesemua ubat-ubatan tersebut harus diambil dibawah pengawasan doktor.

  • Penggunaan ‘cold pack’ pada sendi yang sakit dapat melegakan kesakitan.
  • Minum air yang mencukupi untuk mengurangkan risiko pembentukan batu karang di buah pinggang.




No comments:

Post a Comment