Haematospermia atau campuran darah
dalam air mani jarang berlaku kepada lelaki, sebilangan daripada mereka
mungkin tidak sedar dan sebahagian lagi sedar dan cemas berhubung
kejadian itu.
Ia boleh berlaku bila-bila masa, secara mikroskopik
iaitu sel darah merah hanya kelihatan apabila air mani diteliti dengan
mikroskop atau kelihatan jelas dengan warna air mani bertompok merah
atau merah dan coklat secara menyeluruh.
Sakit Bila Ejakulasi
Ada kalanya lelaki yang mengalami
haematospermia berasa sakit setiap kali mencapai ejakulasi dan air mani
berwarna merah cerah, seolah-olah ada geselan air mani dalam salur
kencing, sama ada bahagian hujung zakar atau paras pangkal zakar.
Jika terasa perit pada penghujung zakar, kemungkinan salur bahagian itu melecet, maka ada campuran darah
dalam air mani. Jika lelaki itu membuang air kecil, tentu terasa perit
dan mungkin ada luka pada penghujung lubang kencing. Apabila melecet itu
hilang, air mani kelihatan normal.
Jika keperitan dirasai di pangkal, kemungkinan ada kaitan dengan batu karang. Mungkin ada batu karang dalam salur pundi prostat dan pundi seminal.
Air
mani yang keluar bercampur darah akan berwarna lebih coklat disebabkan
oleh darah beku. Keadaan ini menjadi seperti sedia kala apabila batu
karang itu terlepas keluar atau hancur dalam salur pundi prostat.
Sperma Masih Aktif
Sperma dalam air mani yang mengandungi darah adalah masih aktif dan lelaki itu masih mampu membuatkan pasangan wanitanya hamil. Biasanya apabila haematospermia berlaku, pasangan akan cemas dan terfikir pelbagai perkara seperti kanser dan jangkitan.
Tak Perlu Takut
Pasangan akan rasa takut untuk meneruskan hubungan seksual dalam keadaan begitu. Ini dijangka jika haematospermia berlanjutan walaupun tidak rasa sakit.
Haematospermia
bukan petanda lelaki itu mandul, membawa kuman atau mendapat jangkitan
dan boleh menjangkiti pasangannya. Andainya sperma normal bercantum
dengan telur wanita, janin tidak terencat walaupun lelaki itu
menghasilkan sperma bercampur darah.
Simptom ini bukan petanda
awal barah salur kencing atau pundi prostat atau seminal, haematospermia
akan reda dan boleh kembali semula pada bila-bila masa.
Rawatan
Bagi
lelaki yang mengalami haematospermia, rujuk kepada doktor untuk
pemeriksaan. Pemeriksaan termasuklah melakukan ujian X-ray KUB (buah
pinggang, salur kencing dan pundi kencing) untuk meneliti kemungkinan
ada batu karang di situ.
Jika ada batu karang, doktor akan beri
ubat untuk melegakan salur kencing dan salur prostat supaya batu karang
boleh keluar. Biasanya tidak perlu menjalani pembedahan pembuangan batu
karang dalam salur prostat kerana ia sangat kecil dan mudah hancur.
Haematospermia jarang berpunca daripada keradangan pundi prostat yang kronik.
Sumber dari : http://www.sihatselalu.com.my/2010/09/haematospermia-air-mani-berdarah.html