Pages

Tuesday, 17 December 2013

Gejala Rasa Kebas di Anggota Badan..Apakah Tandanya ?

Kita pernah mengalami rasa kebas, tetapi kita jarang memikirkan rasa kebas sebagai suatu tanda penyakit. Malah kita menganggap ianya pernah dialami oleh setiap orang.
Menurut Pakar Perunding Perubatan, Klinik Pakar Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Ismail Merican kebas pada istilahnya adalah perasaan kurang selesa atau ‘lemas’ terhadap pergerakan anggota badan yang kadangkala menyebabkan rasa sakit menyucuk-nyucuk di bahagian tertentu.
Jelas beliau, kebas dapat diklasifikasikan kepada dua keadaan. Pertamanya kebas yang disebabkan oleh urat saraf. Jika urat saraf tersebut mengalami gangguan seperti tertekan oleh badan kita, ia menyebabkan kawasan urat saraf berkenaan merasa kebas.
“Misalnya, apabila kita tidur, kadang-kadang tanpa kita sedari bahagian lengan kita tertindih oleh badan kita sehingga menyebabkan lengan kita merasa kebas apabila kita terbangun. Keadaan tersebut disebabkan urat saraf kita terganggu kerana lengan kita tertindih sehingga membuatkan aliran darah kita menjadi sempit. Keadaan itu menyebabkan kita merasa kebas.
“Begitu juga apabila kita duduk atau bersila terlalu lama, kita akan merasa kebas. Namun demikian, ia akan hilang apabila kita bangun dan bergerak. Kebas seperti itu adalah normal.
“Bagi mereka yang mengalami kemalangan kecil, mereka merasa kebas untuk sementara waktu. Jika mereka mengalami kecederaan yang teruk, kebas akan berlaku dalam jangka yang lebih lama. Jika terdapat anggota badan seperti tangan terputus langsung rasa kebas akan hilang kerana urat saraf telah terputus,” kata beliau.
Beliau menambah, “Keduanya adalah kerana berlakunya penyempitan saluran darah akibat cara pemakanan atau tabiat yang menjejaskan kesihatan. Orang yang mempunyai penyakit kencing manis, merokok dan kadar kolesterol yang tinggi akan mengalami kebas.”
Bagaimana jika rasa kebas terjadi bukan sebab hal-hal di atas? “Keadaan kebas juga boleh berlaku jika seseorang kekurangan darah, terlalu gemuk, wanita mengalami putus haid dan kadang-kadang orang yang kekurangan kalsium.
“Biasanya penghidap penyakit penyakit kencing manis merasa kebas di bahagian tangan dan kaki. Jika mereka sering merasa demikian, ia menunjukkan mereka terkena penyakit kencing manis tidak terkawal.
“Jadi tindakan awal perlu diambil jika seseorang merasakan tanda-tanda demikian. Antaranya ialah mengamalkan makanan seimbang seperti sistem pemakanan pyramid yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan. Pesakit sebaiknya mengurangkan mengambil makanan yang bergula, berlemak dan bergaram. Bagi mengurangkan kolesterol kita mesti mengurangkan pengambilan makanan berlemak dan sering melakukan senaman dan memakan ubat tertentu,” kata beliau.
Dr Ismail menjelaskan, “Orang-orang muda yang merasa kebas, mereka sebenarnya tidak perlu mengambil vitamin. Pengambilan makanan sayur-sayuran dan buah-buahan tertentu sudah mencukupi. Sumber makanan tersebut sudah cukup baik untuk membekalkan vitamin dan mineral yang diperlukan untuk badan.
“Pil vitamin hanya diperlukan kepada orang-orang sedang sakit, tidak berselera makan seperti orang-orang tua. Memakan makanan semula jadi sama ada ikan, sayuran dan buah-buahan lebih baik daripada pil vitamin. Malah makanan itu mengandungi banyak serat yang dapat mengelakkan kita terkena barah usus.
“Jika rasa kebas dialami oleh orang berusia 45 tahun ke atas, ujian akan dilakukan dengan teliti untuk meneliti sebab-sebabnya. Ia dijalankan bagi mengenal pasti keadaan pesakit tersebut jika dia dikaitkan penyakit-penyakit berbahaya.
“Bagi mereka yang tidak menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan tidak merokok, kita akan cuba menyoal apakah makna kebas sebenarnya bagi mereka, adakah ia berpunca dari hal-hal lain yang menyebabkan kebas. Kadangkala kebas itu merupakan psikologi pesakit sahaja. Jika mereka mengambil sesuatu jenis ubat yang biasa mereka makan, rasa kebas itu akan hilang,” tambah beliau.
Apabila diajukan pertanyaan, adakah rasa kebas mempunyai kaitan dengan beberapa jenis penyakit? Dr. Ismail menerangkan, “Jika kanak-kanak sering mengalami rasa kebas ia berpunca dari masalah kekurangan darah. Rasa kebas juga boleh menyebabkan petanda kepada beberapa jenis penyakit. Jika seseorang itu merasa kebas sebahagian badannya dari kepala hingga ke bawah, ia menandakan seseorang itu boleh terkena stroke atau lama-kelamaan terkena angin ahmar.”
Di akhir perbualan, Dr. Ismail menjelaskan, “Jika diteliti dari kumpulan kaum yang terdapat di Negara ini, kita dapat melihat bahawa kaum India dan diikuti orang Melayu lebih mudah terkena kebas serta sakit jantung kerana kumpulan tersebut banyak memakan makanan berlemak, bergula dan bergaram berbanding kaum Cina.”

No comments:

Post a Comment