Saya sering mengalami pendarahan hidung. Pendarahan ini berlaku tanpa sebab dan kekadang menyebabkan situasi yang memalukan apabila berlaku di khalayak ramai. Saya ingin bertanya apakah punca pendarahan ini berlaku dan apakah kaedah terbaik untuk merawat pendarahan hidung serta kaedah untuk mengelak dari pendarahan ini daripada berulang.
Hidung merah. Alor Setar, Kedah
Jawapan:
Saudara/i hidung merah,
Nama yang begitu unik dan sangat ironi dengan soalan yang ditanya. Moga selepas ini tidak lagi dipanggil hidung merah.
Pendarahan hidung (juga dipanggil epistaksis) berlaku apabila salur darah halus di dalam lapisan sel pelapik hidung pecah. Lapisan dalam hidung sebenarnya sangat ‘lembut’, manakala salur darah pula dekat dengan permukaan yang menyebabkan ia mudah pecah dan berdarah.
Ada banyak punca lazim yang menyebabkan hidung berdarah, seperti:
- Salur darah dalam hidung yang sangat sensitif — Ia pecah dan berdarah dalam cuaca panas serta kering.
- Jangkitan — termasuk jangkitan pada hidung, tekak atau sinus
- Selesema dan flu
- Alahan (seperti pada kutu habuk atau alahan rinitis)
- Hidung terhantuk/trauma
- Kehadiran benda asing dalam hidung (contohnya apabila kanak-kanak memasukkan sesuatu ke dalam hidung mereka; biasanya manik)
- Tekanan keterlaluan (biasanya berlaku serentak dengan sembelit)
- Penggunaan sesetengah jenis ubat (seperti ubat anti keradangan atau semburan hidung)
Antara punca yang jarang berlaku tetapi masih boleh menyebabkan hidung berdarah:
- Kehadiran benda asing atau polip dalam hidung
- Gangguan atau masalah kesihatan berkaitan darah – Masalah pencairan darah
- Perkembangan vaskular yang tidak sempurna
- Ketumbuhan dalam saluran hidung dan tekak
Kaedah merawat asas kepada pendarahan hidung:
- Bernafas seperti biasa TETAPI menggunakan rongga mulut. ELAK bernafas melalui hidung
- JANGAN menghembus udara kuat melalui hidung
- Jangan banyak bercakap, batuk dan bersin. Ini akan mengganggu proses pembekuan Pada pembuluh darah
- Duduk atau berdiri dengan kepala sedikit ke hadapan
- JANGAN baring
- Beri tekanan dengan menggunakan jari telunjuk dan ibu jari di bahagian pertemuan rawan hidung dan tulang. Tekanan diberi di bahagian rawan.
- Beri tekanan secara berterusan selama 10 minit
- Peringatan: Jangan asyik memeriksa sama ada pendarahan sudah berhenti dengan mengalihkan jari. Untuk menghentikan pendarahan, darah perlu menjadi beku dan ia mengambil sedikit masa. Alih perhatian anak dengan menyuruhnya membaca atau menonton televisyen.
- Sentiasa pastikan rongga pernafasan tidak ada gangguan atau objek yang menghalang pernafasan. Dalam kes ini rongga pernafasan hidung sudah tidak berfungsi dengan baik. Pernafasan hanya bergantung kepada rongga mulut.
- Pastikan tiada sekatan pakaian atau objek luar dibahagian leher.
- Jika pendarahan berterusan. Perlu mendapat rawatan lanjut.
- Apabila pendarahan berhenti, pastikan anak tidak cuba mengorek atau menghembus nafas dengan kuat (untuk mengeluarkan sisa darah) dalam tempoh 24 jam. Malah dalam tempoh itu anak anda perlu berehat dan tidak sepatutnya berlari ke sana sini atau terbabit dalam permainan lasak untuk mengelak pendarahan berulang.
Cara untuk mengelakkan hidung berdarah kembali:-
- Banyakkan minum air suam bagi memastikan badan sentisa sejuk dan tidak terhidrat.
- Jangan sesekali menghembus hidung terlalu kuat. Takuti akan menyebabkan hidung berdarah, luka kembali. Mudah terjadi apabila seseorang itu bersin terlalu kuat.
- Sekiranya mendapati hidung kering dan berkerak jangan sesekali mengorek dengan kuku yang tajam dan terlalu dalam. Perlu berhati-hati sebaiknya gunakan pelembab atau minyak bayi bagi membersihakn rongga hidung.
- Kemungkinan juga seseorang itu ada mengambil ubat-ubatan yang mengandungi aspirin, warfarin atau ubat antikeradangan bukan steroid (NSAIDs).
- Ibu bapa harus perhatikan tingkah anak yang mengalami masalah hingus yang keras dan melekat pada membran mukosa sebenarnya boleh menyebabkan luka bila hidung dikorek. Perkara ini kerap berlaku kepada kanak-kanak.
- Berjumpalah dengan doktor sekiranya anda mendapati tanda-tanda seperti:-
- Apabila darah dalam hidung mengalir terlalu laju atau kehilangan banyak darah dalam beberapa saat. Berasa hendak pitam atau pengsan.